SEPTEMBER 2021

Pusat Falak Miri Mula Digunakan


MIRI: Pusat Falak Miri berharga RM4.5 juta di Luak Esplanade di sini dibuka dengan rasminya oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pembukaan rasmi itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pada hari ini.

Pusat Falak Miri itu dibina berdasarkan empat faktor iaitu pusat cerapan dan takwin, pusat penyelidikan, pusat pendidikan dan perkembangan ilmu falak dan pusat astro-pelancongan.

Projek itu siap sepenuhnya pada 13 Julai 2021 dan majlis penyerahan projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) diadakan pada 13 Ogos 2021.

Pusat cerapan dan takwin di pusat falak itu akan menjadi pusat aktiviti cerapan merangkumi semua objek langit seperti bulan, matahari, planet, bintang, buruj, nebula dan sebagainya.

Pusat penyelidikannya pula sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan bagi melakukan kajian falak, ilmu astronomi Islam dan kefatwaan, manakala pusat pendidikan dan perkembangan ilmu falak akan menjadi pusat pendidikan untuk menjalankan latihan dan aktiviti falak melalui kursus atau seminar falak sebagai usaha falak menyebarkan ilmu dan kemahiran dalam bidang melalui kerjasama daripada pelbagai institusi dan jabatan kerajaan.

Pusat astro-pelancongannya dilengkapi dengan sistem dan teknologi yang canggih dan terkini.

JMNS mengambil inisiatif untuk menubuhkan pusat falak itu pada 2014 dengan tujuan penambahbaikan dan memudahkan tugas pegawai dalam memenuhi fungsi bahagian falak. 

Bahagian falak JMNS bertanggungjawab dalam menguruskan majlis rukyah dan penyediaan takwin waktu solat seluruh negeri ini.

Permohonan untuk pembinaan Pusat Falak Miri dikemukakan pada 10 Julai 2015 dan pada permulaan projek itu diperuntukkan RM2.5 juta dan telah dinaikkan sehingga RM4.5 juta oleh Kerajaan Negeri.

Proses reka bentuk pembangunannya diambilalih oleh JKR Sarawak dengan mengambil kira cadangan daripada JMNS dan pembinaan projek itu bermula pada 5 September 2019.

GAMBAR:UKAS

Sumber dari : Jiwa Bakti